Bismillah. Dari Ust Al fadhil Maulana Usamah Muhammad (Ilmuan Ahlul Sunnah Wal Jamaah).
Solat qadha terbahagi kepada dua:
1. Meninggalkan solat kerana keuzuran seperti tertido.
- Disunatkan menyegerakan qadhanya supaya terlepas dari
tanggungjawab dengan segera.
- Disunatkan juga mendahulukan qadha sekiranya tidak
ditakuti habis waktu untuk solat tunai tersebut.
- Disunatkan juga mengqadha
solat mengikut tertib solat tersebut seperti mendahulukan solat subuh ke atas
solat zohor.
2. Meninggalkan solat dengan sengaja.
- Wajib menyegerakan qadha
- Wajib melapangkan sepenuh masa untuk menqqadhanya kecuali
masa yang diperlukan untuk keperluan hidup seperti mencari rezeki untuk
kehidupan dia dan orang dibawah tanggungannya. Haram untuknya melapangkan masa
untuk perkara yang bukan menjadi keperluan hidupnya seperti bercakap sia2,main
game,main facebook dan yang seumpama dengannya.
- Wajib mendahulukan solat qadha yang disengajakan keatas
solat qadha yang kerana keuzuran. Haram didahulukan qadha kerana keuzuran yang
disengajakan tetapi solat adalah sah.
PERHATIAN!! HARAM Menunaikan Apa2 Bentuk Solat Sunat Bagi
Orang Yang Masih Ada Solat Qadha Yang Belum Disempurnakan.
(Rujukan kitab bushral kariim syarah kepada mukaddimah
hadhramiyah dan juga kitab mughnil muhtaaj syarah kepada minhaajuttolibiin.)
Siapakah orang yang DIWAJIBKAN untuk mengqadha solatnya?
1. Lelaki: Yang beragama Islam, berakal dan suci.
2. Perempuan: Tidak diwajibkan mengqadha solat-solat yang
terpaksa ditinggalkan semasa berada didalam keadaan haid.
Jumhur ulamak pelbagai mazhab bersepakat bahawa orang yang
meninggalkan solat diwajibkan mengqhadakannya sama ada dia terlupa atau sengaja
meninggalkannya. Lalu bagaimana jika seseorang itu meninggalkan solat dengan
sengaja selama berpuluh-puluh tahun?
Contoh kalau seseorang itu meninggalkan solat selama 20
tahun, hendaklah dia mengira sebanyak mana solat yang perlu digantikan.
Contohnya 365 hari (1 tahun) dikalikan dengan 5 (solat 5 waktu) iaitu bersamaan
dengan 1825 waktu yang perlu diganti. 1825 waktu pula dikalikan dengan 20
tahun, hasilnya ialah 36500 solat yg perlu digantikan. Jadi masing-masing boleh
mengira sendiri samada dalam tempoh 20 tahun itu dia pernah solat tetapi dalam
sekitar 20% sahaja daripada waktu itu, maka tolaklah 20% daripada jumlah waktu
yang perlu diqadhakan itu.
Dengar macam berat, tapi sebenarnya itulah tanda kasih
sayang Allah. Allah memerintahkan kepada kita untuk solat, mungkin kita dulu
jahil/lagha sehingga meninggalkan solat yg sememangnya wajib ke atas kita.
Allah sememangnya nak masukkan kita ke dalam syurga dengan rahmatNya, maka
solat merupakan salah satu ibadah yang menjadi kuncinya. Jadi, sebenarnya solat
adalah salah satu ibadah yang merupakan satu perjanjian antara kita dengan Allah
SWT, seperti yang telah disebutkan didalam sebuah hadith:
Daripada Ubadah bin Al-Shomit RA dia berkata: "Aku
telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Sembahyang lima waktu itu telah
diwajibkan oleh Allah ke atas hamba-hambaNya. Barangsiapa yang menunaikannya,
bermaakna dia tidak mensia-siakan sesuatupun daripada kewajipan tersebut
lantaran memandang ringan terhadapnya, maka dia akan dimasukkan ke dalam
syurga. Dan sesiapa yang tidak menunaikannya maka dia tidak ada apa-apa
perjanjian di sisi Allah. Sekiranya Allah menghendaki Dia akan mengazabkannya
dan jika Dia kehendaki, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga." (Hadith
riwayat Abu Daud (1420) dan lain-lain).
Ada sebuah hadith yang berbunyi:
"Daripada Anas RA daripada
Nabi SAW sabdanya: "Sesiapa yang terlupa (mendirikan sembahyang) maka dia
hendaklah sembahyang apabila dia mengingatinya dan dia tidak dikenakan kafarrah
melainkan mendirikan sembahyang tersebut. Baginda membaca firman Allah yang
bermaksud: Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati-Ku. (Thaha: 14)"
(Hadith riwayat Al-Bukhari (572) dan Muslim (684) )
Jadi daripada hadith ini jelaslah bahawa qadha solat sebaik
sahaja kita teringat solat yang kita masih belum tunaikan setelah habis waktu
kerana terlupa atau tertidur, wajiblah dia mengqadha solatnya itu tetapi
tidaklah diwajibkan bersegera untuk menunaikannya. Ia berbeza kepada orang yang
sengaja meninggalkan solat kerana malas, maka wajiblah dia segera
mengqadakannya dan memperuntukkan lebih banyak waktu lapang untuk digunakan
bagi mengqadha solat.. Bagi mereka yang terlupa atau tertidur sehingga
tertinggal 1 atau lebih waktu solat, kadangkala seseorang itu akan teringat
pada masa-masa yang dimakruhkan (makruh jenis tahrim, yakni makruh yang hampir
ke tahap haram) untuk solat seperti waktu:
1- Ketika matahari berada di tengah-tengah langit - kecuali
pada hari jumaat - dan selepas sembahyang Subuh sehingga matahari naik setinggi
tombak (setinggi satu galah).
2- Selepas sembahyang Asar hingga jatuh matahari.
Maka pada waktu-waktu sebegini tidaklah dilarang untuk
menunaikan solat qadha.
Dimana pula dalil-dalil yang memerintahkan solat qadha bagi
mereka yang meninggalkan solat biarpun bertahun-tahun kerana malas?
Seperti
yang kita ketahui, sumber ilmu yang menjadi tatapan para ulamak untuk istinbath
(menggali) sesuatu hukum tauhid dan feqah itu adalah daripada Al-Quran, hadith
(yang diambil untuk dijadikan sunnah), ijma dan qias. Tetapi tidak terdapat
hukum daripada Al-Quran dan hadith yang mengatakan seseorang itu hendaklah
mengqadhakan solatnya yang telah ditinggalkan bertahun-tahun. Ini kerana pada
zaman Nabi SAW majoriti umat Islam pada zaman itu, begitu jarang sekali ada
orang Islam yang meninggalkan solat selain terlupa dan tertidur.
Jadi para
ulama mendapati masalah ini mula berlaku apabila umat Islam semakin jauh
daripada agama dan melalaikan kewajipan solat. Jika seseorang itu meninggalkan
solat dengan sengaja kerana malas, ia masih tidak dianggap sebagai kafir
kecuali kepada mereka yang mengatakan solat itu tidak wajib dan sebagainya.
Oleh kerana itu para ulama bersepakat terutamanya dalam mazhab Syafie
mewajibkan bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja selama
bertahun-tahun hendaklah menggantikan/mengqadhakan solat itu dengan kadar yang
tertentu bergantung kepada berapa banyak solat yang ditinggalkan oleh seseorang
itu.
Ostad Apakah itu ijma'?
Ijma' merupakan sumber rujukan yang ketiga
daripada sumber-sumber hukum (selepas Al-Quran dan sunnah), apabila kita tidak
dapati sesuatu hukum di dalam Al-Quran dan as-Sunnah maka kita lihat, adakah
perkara tersebut telah disepakati oleh ulama' atau tidak. Sekiranya ia
merupakan ijma' ulama', makan hendaklah kita menerima dan beramal dengannya.
Solat sunat, pun tak bolehkah? Rugilah kalau tak solat
sunat. Saya baca banyak buku-buku yang menerangkan keutamaan solat-solat sunat
seperti solat sunat Dhuha, witir, tarawikh, hari raya dan sebagainya yang
sangat banyak fadilatnya. Takkan tu pun tak boleh kot? Kot ye pun, takkanlah
sampai haram..?
Sepakat ulamak mengatakan haram solat sunat selagi solat
qadha masih belum selesai ditunaikan. Selain solat jenazah (solat jenazah
merupakan fardhu kifayah, maka ia berbeza antara fardhu kifayah dengan sunat),
semua solat sunat seperti solat dhuha, witir, solat terawih, solat sunat hari
raya aidilfitri/aidiladha, rawatib, solat hajat, solat taubat dan sebagainya
diharamkan kepada mereka yang mempunyai solat fardhu yang masih tidak
diqadhakan lagi. Ini kerana 1 solat fardhu lebih baik berganda-ganda daripada
semua fadilat-fadilat solat-solat sunat yang disebutkan tadi. Jika kita
menunaikan solat-solat sunat seumur hidup kita pun, ia tidak akan mampu
menggantikan 1 solat fardhu sekalipun. Janganlah kita lupa, solat fardhu
merupakan amalan ibadah kita yang pertama akan dinilai di akhirat nanti.
Bukankah kita boleh menggantikan solat-solat sunat itu
dengan solat wajib? Contohnya sekiranya kita berjemaah di masjid, nak masuk
masjid bukankah perlu solat sunat tahiyatul masjid? Maka gantikanlah solat
sunat tahiyatul masjid itu dengan solat fardhu qadha Subuh contohnya.. Begitu
juga dengan solat sunat Dhuha dan sebagainya... Dan bagaimana pula dengan solat
terawih dan solat sunat hari raya..? Setahun sekali saja kita dapat menemui
solat-solat seperti ini, bukan..? Maka gantikanlah solat sunat terawih itu
dengan solat fardhu qadha.
Jadi masing-masing fikirkanlah sendiri, samada berbaloi atau
tidak solat sunat sedang solat qadha belum diselesaikan lagi.
Bagaimana cara-cara untuk qadha solat fardhu?
Niat solat qadha ialah seperti biasa, tetapi berbeza sedikit
yakni dengan meniatkan qadha, perhatikan: "Usolli fardhal subhi rok'ataini
QADHAAN lillahitaala",
bermaksud: "Sahaja aku menunaikan solat fardhu
subuh 2 rakaat QADHA kerana Allah taala."
Bagi yang mahu qadha solat fardhunya di masjid untuk
mengelakkan sebarang fitnah untuk solat Subuh, solat seperti biasa, tetapi
ketika hendak membaca doa qunut, pendekkan sahaja bacaannya sekadar rukun
yakni:
-Bacaan qunut itu sendiri
-Selawat ke atas Nabi SAW.
Dalam hal ini, cukuplah sekadar membaca sepatah bacaan qunut,
contohnya "Allahummah dini fiiman hadait" kemudian terus sambung
membaca selawat ke atas Nabi SAW, iaitu: "Fasallallahu'ala saiyidina
Muhammadinin Nabi ummiyyi wa'ala 'alihi wasohbihi barik wasallim."
kemudian barulah turun sujud. Jangan turun sujud selagi tidak sempurna rukun
bacaan doa qunut tadi, yakni hendaklah membacanya sehingga habis dalam keadaan
berdiri itu.
Angkat tangan untuk berdoa pun sunat, tak perlu angkat tangan
untuk berdoa. Kemudian bagi yang mahu menunaikan solat qadha Zuhur, Asar, Maghrib
atau Isyak, buatlah dirumah, atau boleh saja melakukannya dimasjid jika kita
tidak mempedulikan pandangan orang (itulah yang sebaik-baiknya, kerana
kewajipan menunaikan solat qadha lebih penting daripada menilai perhatian orang
lain).
Berkenaan dengan solat sunat terawih dan solat sunat hari
raya, bagaimana pula untuk qadha solat fardhu dalam keadaan berjemaah? Mengenai
hal ini, mungkin agak rumit untuk diperjelaskan dan difahami oleh pembaca,
tetapi saya akan cuba untuk menjelaskan sebaik mungkin.
Qadha solat fardhu ketika berjemaah dengan jemaah yang
menunaikan solat terawih:
Biasanya di masjid akan melakukan solat sunat terawih
sebanyak 20 rakaat. Dan ia dilakukan sebanyak tiap-tiap 2 rakaat 1 salam. Jadi
bagi mereka yang nak qadha solat subuh, bolehlah mengikut cara yang disebutkan
tadi cuma perlulah diniatkan sebagai makmum yakni mengikut imam iaitu melalukan
niat qadha solat subuh qadha mengikut imam kerana Allah taala semasa mengangkat
takbir.
Tetapi bagi mereka yang hendak qadha solat Zuhur, Asar dan
Isya', begini caranya:
Hendaklah dia berniat untuk qadha solat Zuhur/Asar/Isya'
sebagai makmum (mengikut imam). Solatlah seperti biasa mengikut imam, tetapi
apabila imam memberi salam, kita tidak boleh mengucapkan salam juga, jika
tidak, solat kita akan menjadi batal (kerana salam adalah tanda habisnya
sesebuah solat yang didirikan). Jadi berniatlah untuk mufarakah daripada
mengikut imam (yakni berniat untuk tidak lagi mengikut imam) dan kekalkan
keadaan diri anda dalam keadaan tahiyat awal, ini kerana anda perlu bersedia
pada bila-bila masa sahaja untuk bangun mengikut imam semula.
Sesiapa yang
hendak menggerakkan kepala sedikit hanya semata-mata isyarat untuk salam
(supaya makmum disebelah kita tidak mengesyaki apa-apa kerana pelik dengan tindakan
kita yang tidak memberi salam mengikut imam) maka lakukanlah kerana pergerakan
itu tidak membatalkan solat (selagi anda tidak melafazkan salam atau
mengalihkan dada dari arah kiblat). Sekarang doa dibacakan oleh imam dan para
makmum, anda pula sedang dalam keadaan tahiyat awal.
Maka bersabarlah sebentar
untuk mereka habiskan bacaan doa itu, kemudian apabila imam bangun untuk solat
2 rakaat yang seterusnya, sebaik sahaja imam habis melafazkan takbir,
niatkanlah (masukkan semula niat anda untuk mengikut imam kerana sebentar tadi
anda telah berniat mufarakah dengannya) untuk mengikut imam untuk menyelesaikan
2 daripada 4 rakaat yang perlu dihabiskan untuk menyempurnakan solat fardhu
qada 4 rakaat anda.
Apabila imam memberi salam, pada waktu ini barulah anda
boleh memberikan salam kerana anda sudah selesai menunaikan solat fardhu qada 4
rakaat. Perlu diingatkan, niat masuk-keluar-masuk daripada menjadi makmum
kepada seorang imam ini hanya dibolehkan di dalam mazhab Syafie selagi solat
imam itu tidak terbatal kerana najis/tersalah bacaan/lafaz dan lain-lain.
Kemudian, lakukanlah solat qadha fardhu 4 rakaat bagi rakaat
yang seterusnya. Sekurang-kurangnya anda boleh menyelesaikan sebanyak 5 solat
waktu untuk 20 rakaat solat terawih dan 1 solat maghrib untuk witir (solat witir
didirikan dengan 3 rakaat 2 salam) yang sesuai untuk qadha solat Maghrib kerana
bilangan solat witir yang ganjil.
Bagaimana dengan solat sunat hari raya..?
Solat sunat hari raya mempunyai 2 rakaat di dalamnya, dengan
7 takbir (tidak termasuk takbiratul ihram) pada rakaat pertama dan 5 takbir
pada rakaat kedua. Untuk rakaat pertama, niatkan solat qadha subuh mengikut
imam dan ambil 1 takbir sahaja (samada pada permulaan takbir pertama imam -
jika mengambil takbir pertama imam, maka xperlu mengangkat 7 takbir yang
seterusnya, maka hendaklah anda diam sehinggalah imam membacakan Al-Fatihah)
atau bertakbiratulihram pada takbir yang ke tujuh). Pada rakaat kedua, tidak
perlu mengangkat sebarang takbir (kerana mengangkat takbir tambahan di dalam
rakaat pertama dan kedua solat sunat hari raya adalah sunat; jika terlupa
melakukannya dan terus membaca fatihah, maka takbir-takbir tadi luput tidak
perlu diulangi semula) dan solat tetap sah - apa lagi anda yang sedang solat
qadha). Kemudian habiskan solat dengan mengikut imam seperti biasa.
Admin harap anda semua faham akan apa yang admin ingin
sampaikan. Anggap sajalah mengqadha solat itu semua adalah sebagai denda untuk
diri kita, kerana solat umpama perjanjian kita dengan Allah, kita sebagai
hambaNya mestilah mengharapkan agar Allah mengampuni segala dosa-dosa kita
kerana ‘mengingkari’ perjanjian kita dengan Allah yakni menyembah Allah dengan
mendirikan solat atas kejahilan kita pada masa dahulu atau kerana malas. Apa
salahnya kita qadha solat-solat kita yang sengaja ditinggalkan dulu kerana
bukankah Allah menjadikan kita untuk hidup di dunia ini hanya untuk beribadah
kepada Allah..? Untuk mengejar dunia dan akhirat, kedua-duanya ada ibadah,
bukanlah bermakna perlu meninggalkan keduniaan dan focus untuk beribadah untuk
akhirat sahaja. Kita juga mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam dunia
zaman sekarang yang penuh dengan cabaran hidup, tetapi masukkanlah kehidupan
anda dengan ibadah. Untungnya seseorang muslim itu, setiap perbuatan yang
disertai dengan niat yang baik, halal dan sebagainya akan diganjarkan oleh
Allah dengan pahala.
Tidak rugi pun kalau kita meluangkan masa yang lebih panjang
setiap hari untuk berdiri di atas tikar sejadah untuk menunaikan tanggungjawab
kita kepada Allah. Benar, pada zahirnya pasti akan terdetik perasaan “Rasa
macam susah je nak kena qadha berpuluh dan beratus ribu solat yang perlu
diqadhakan... Kalau tak sempat nak habiskan qadha macam mana?” Allah tak kejam,
Allah tak zalim, melainkan kita yang menzalimi diri sendiri. Tetapi jika kita
sudah berusaha, kemudian Allah dahulukan kematian kita sebelum sempat kita
habiskan semua solat-solat qadha kita, berserahlah kepada Allah, kerana kita
sudah pun berusaha, terpulang kepada rahmat Allah.
Terbitkanlah rasa takut dengan persoalan-persoalan seperti
“Ya Allah, kalau aku buat solat sunat padahal solat wajib pun aku tak buat lagi
ni, agaknya Allah terima ke solat-solat sunat aku? Tak mungkin seluruh
solat-solat sunat yang aku kerjakan ini mampu menggantikan walau satu solat
fardhu sekalipun!”
Ibarat kita berhutang dengan seseorang.
Contoh…. Kita berhutang kepada seseorang sebanyak RM100 dan
sudah sampai masanya untuk membayar semula pinjaman kita. Sedang kita berjalan
hendak membayar pinjaman, tiba-tiba kita ternampak seorang pengemis yang
meminta sedekah di tepi jalan, lalu kita pun menghulurkan RM100 yang sepatutnya
digunakan untuk membayar hutang, kepada pengemis itu. Lalu apabila si pemberi
pinjam itu bertanya, “Mana hutang aku?” Lalu kita pun menjawab dengan selamba:
“Aku dah bagi kat peminta sedekah tadi la…” Agaknya apakah perasaan kawan kita
tu? Mungkinlah dia sedang banyak duit, dan tak perlukan pun RM100 tu, tapi
janji tetap janji. Janji wajib ditunaikan dalam keadaan kita mampu nak
melunaskan janji kita tu. Tapi kita lebih mengutamakan perbuatan sunat
berbanding yang wajib. Patutkah?
Tepuk dada, tanyalah iman... :) Semoga Bermanfaat.
Kredit Kepada Faris Ibn Addin atas penyusunan ini. Barakallahufiekum
Tiada ulasan:
Catat Ulasan